Terkini

6/Terkini/ticker-posts

Header Ads Widget

header ads

Calon peperiksaan hidap COVID-19, kuarantin tak dibenar duduki peperiksaan



KUALA LUMPUR:
Calon peperiksaan utama yang menghidap COVID-19, dikuarantin atau ada kontak rapat dengan pesakit lain, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan dalam tempoh mereka dikuarantin atau disahkan positif virus itu.

Sebaliknya, mereka dibenarkan menduduki peperiksaan masing-masing selepas selesai menjalani rawatan atau tempoh kuarantin, selain perlu mendapat pengesahan tahap kesihatan dan boleh mengikuti peperiksaan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, berkata calon berkenaan juga akan dibekalkan dengan kertas peperiksaan berbeza berbanding calon yang menduduki peperiksaan mengikut takwim ditetapkan.

Selain itu katanya, calon peperiksaan utama yang sihat tidak dibenarkan memilih untuk menduduki peperiksaan bersama calon dalam kategori berkenaan.

"Mereka boleh mengikuti kertas lain yang masih berlangsung selepas sembuh atau melepasi tempoh kuarantin, selain Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengaturkan sesi lain bagi mereka mengambil kertas (peperiksaan bagi subjek) tertinggal dengan set soalan berbeza.

"Walaupun KPM merancang melaksanakannya, calon tak boleh memilih untuk menduduki kali pertama atau tunggu (kertas) yang seterusnya. Ia cuma pertimbangan atau alternatif bagi calon yang terkesan dengan COVID-19 atau dikuarantin.

"Calon juga perlu ada surat atau bukti yang menyatakan demikian (disahkan positif COVID-19 atau dikuarantin) daripada doktor, selain KPM akan mengumumkan tarikh peperiksaan alternatif itu kemudian," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengenai ibu bapa yang enggan anak mereka yang bakal menduduki peperiksaan utama hadir ke sekolah ekoran pandemik COVID-19, beliau berkata, calon peperiksaan utama yang perlu mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka boleh menduduki peperiksaan walaupun tidak hadir ke sekolah.

Habibah berkata, calon berkenaan dibenarkan menduduki peperiksaan masing-masing dengan syarat mereka sihat.

"Ibu bapa dan murid berhak untuk menentukan sama ada anak mereka atau murid mahu hadir ke sekolah untuk menjalani PdP secara bersemuka atau sebaliknya.

"Kementerian amat menggalakkan murid kelas peperiksaan dapat kembali ke sekolah supaya guru dan warga sekolah boleh membantu dari segi persediaan menghadapi peperiksaan.

"Sebab ini jugalah kita mendapatkan kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tujuan itu, betapa pentingnya murid ke sekolah dan ada garis panduan bagi menjaga keselamatan dan kesihatan pelajar," katanya.

Sumber : BH

Post a Comment

0 Comments