Terkini

6/Terkini/ticker-posts

Header Ads Widget

header ads

PdPR: Cikgu Norlida guna Tiktok, cikgu Em manfaat YouTube tarik minat pelajar


KUALA LUMPUR:
Trend generasi muda ketika ini yang gemar menggunakan aplikasi media sosial seperti TikTok, Instagram, dan YouTube untuk berinteraksi dan berkongsi rutin harian memberi ilham kepada guru menggunakan pendekatan itu untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ia juga untuk mengelakkan pelajar merasa mudah jemu dan angkat kaki apabila mengikuti sesi PdPR menerusi aplikasi seperti Telegram, Google Meet dan Zoom Meeting yang memerlukan pelajar hanya duduk, mendengar dan sekali sekala menyampuk apabila tidak memahami sesuatu yang diajar.

Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen, Kangar, Perlis, Norlida Muhd Pisol, 37, memilih menggunakan TikTok sebagai salah satu daripada medium untuk mengajar mata pelajaran sejarah bermula minggu lepas.

“Ramai dalam kalangan pelajar saya gemar menggunakan aplikasi TikTok dan dari situ saya mendapat idea untuk menggunakan aplikasi ini sebagai antara medium untuk mengajar, pendek kata, kita perlu didik golongan remaja dengan cara yang mereka suka,” katanya kepada Bernama.

Norlida yang sudah 15 tahun menjadi pendidik berkata, kaedah pembelajaran itu bukan hanya mudah, tetapi menyeronokkan malah pelajar turut teruja memberikan cadangan pemilihan lagu untuk menjadikan sesi PdPR itu lebih menarik.

Maklum balas diterima daripada pelajar juga menyatakan aplikasi itu lebih mudah digunakan kerana mereka tidak perlu data (had internet) yang besar berbanding aplikasi media sosial lain.

Bagi tujuan itu juga, Norlida sanggup membelanjakan kira-kira RM2,000 duit poket sendiri bagi membeli alat peranti, peralatan studio dan menghias tiga studio mini di rumahnya agar pelajar tidak jemu apabila menonton video TikToknya.

“Saya buat semua ini hanya dengan satu niat iaitu agar pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran kerana bagi saya mata pelajaran sejarah perlu dipelajari setiap hari, sehari sahaja tidak belajar, mereka boleh lupa,” katanya.

Paling membanggakan apabila akaun TikToknya Cikguida@ZINSygSakura turut dimuat turun, disimpan dan dikongsi bukan hanya oleh pelajar sendiri, tetapi oleh beberapa pelajar dari sekolah lain yang berminat dengan cara pembelajaran itu.

Seorang pelajarnya, Nor Arifah Alyaa Mohamad Asri, 16, berkata dia teruja belajar sejarah menerusi TikTok kerana menyeronokkan dan fakta sejarah lebih mudah untuk difahami dan diingati.

“Sebelum ini saya kurang minat sejarah tetapi apabila cikgu Norlida buat pembelajaran santai TikTok begini memang sangat menarik minat saya kepada mata pelajaran tersebut dan saya boleh mengulang tayangan video yang lengkap dengan soalan dan jawapan mengikut bab,” katanya.

Emily Syafirah Zamrod mengajar bahasa Inggeris melalui YouTube.

Sementara itu, bagi guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah di Alor Setar, Kedah, Emily Syafirah Zamrod, 44, berkata beliau mengambil inisiatif mewujudkan saluran YouTube, “English Made Possible with Teacher Em” untuk menjadikan pembelajaran lebih menarik dan tidak membosankan.

“PdPR menggunakan aplikasi seperti ‘Google Classroom’ masih dilakukan untuk interaksi secara langsung dengan murid, namun kadang-kadang guru tidak ada kawalan ke atas murid dan mereka boleh meninggalkan sesi pada bila-bila masa apabila mereka bosan.

“Bagi menarik minat murid, saya mengambil inisiatif mewujudkan saluran YouTube dengan menghasilkan video berkaitan subjek bahasa Inggeris termasuk memasukkan unsur sketsa di dalamnya,” katanya.

Menurutnya melalui YouTube, beliau dapat merakamkan video berkaitan agar boleh ditonton oleh pelajar pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada ketika mempunyai capaian internet.

Beliau turut puas apabila videonya itu turut dikongsi pelajar dan guru dari sekolah lain dan sehingga kini saluran YouTubenya mempunyai lebih 2,200 pelanggan dengan 72,000 tontonan.

Dari segi keberkesanan videonya dalam meningkatkan kefahaman murid, Emily Syafirah berkata terdapat beberapa pelajar yang menyatakan mampu menulis ringkasan dalam bahasa Inggeris dengan baik selain mampu menjawab semua soalan dalam peperiksaan selepas menonton videonya.

Berikutan maklum balas positif itu, beliau berazam memperbanyakkan lagi video dalam saluran YouTubenya dan meningkatkan lagi kreativiti penyampaian agar lebih menarik, mudah difahami dan paling penting tidak membosankan.

Sumber : FMT

Post a Comment

0 Comments