Terkini

6/Terkini/ticker-posts

Header Ads Widget

header ads

Tiga perkara asas kurangkan tekanan dalam pendidikan


PARIT 28 Julai - Kementerian Pendidikan akan menerapkan tiga perkara asas iaitu ke­seronokan, kasih-sayang dan hormat-menghormati semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam usaha menjadikan pendidikan sebagai sesuatu yang me­nyeronokkan. 

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, pendidikan harus dilihat sebagai proses yang menggembirakan dan bukannya memberi tekanan serta membebankan pengajar dan pelajar sama ada di sekolah mahupun institusi pe­ngajian tinggi. 

Katanya, kegagalan golongan tersebut menangani tekanan menyebabkan ada dalam kalangan mereka yang terjejas kesihatan seperti menghadapi kemuru­ngan. 

“Belajar sepatutnya menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan bukannya menjadikan pelajar dan guru tertekan. 

“Hari ini, ada dalam kalangan mereka menghadapi pelbagai tekanan kerana merasakan pendidikan sebagai sesuatu yang membebankan dan akhirnya ramai yang kesihatannya terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganuge­rahan Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) kepada 210 penerima di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Naib Pre­siden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abd. Rahman.

Menurut beliau, tidak dinafikan memang terdapat beberapa perkara yang memerlukan guru dan pensyarah menangani sesuatu perkara dengan serius tetapi urusan itu tidak patut berlangsung dalam suasana dan situasi yang boleh memberikan tekanan.

Justeru itu katanya, aspek kasih sayang tidak seharusnya diabaikan dalam memastikan hubungan guru, murid dan ibu bapa dapat dipertingkatkan dan diperbaiki.

“Ketika ini hubungan antara guru dan murid juga dilihat semakin kurang kasih sayang, hubungan guru dan ibu bapa penuh dengan prejudis (prasangka), manakala ibu bapa pula tidak lagi mempercayai guru.

“Anak murid juga tidak lagi menghormati guru dan guru ti­dak lagi mencintai anak murid. Kementerian akan ubah situasi ini dan kita mahukan pendidikan disemarakkan dengan cinta dan semua pihak saling menyayangi,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Post a Comment

0 Comments