KUALA LUMPUR 26 
Julai   -  Golongan guru paling ramai dikesan mengalami gejala stres 
berbanding kerjaya lain di negara ini yang punca utamanya akibat beban 
kerja yang terlampau banyak.
NOR ZURAIDA ZAINAL 
 | 
  
Bekas Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Prof. Dr. Nor Zuraida Zainal
 berkata, sebab itu, tidak menghairankan apabila kajian sekumpulan 
penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati kira-kira 71.1 
peratus guru di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami stres.
Malah katanya, kajian lapan tahun lalu itu juga 
mendedahkan satu pertiga daripada guru yang stres itu berhadapan masalah
 kemurungan.
“Ikut pengalaman saya sendiri, guru yang stres 
ini kerana terpaksa melakukan kerja tambahan, mereka bukan sekadar 
mendidik tetapi perlu melakukan tugas pentadbiran yang sepatutnya 
dilakukan oleh kerani.
“Dan bilangan guru wanita yang stres adalah dua 
kali ganda lebih ramai berbanding lelaki dengan kebanyakannya dalam 
lingkungan usia 25 hingga 30 tahun kerana sukar menyesuaikan diri dengan
 realiti alam pekerjaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di 
sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Kesatuan 
Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd. 
Razak yang menyifatkan masalah kemurungan dalam kalangan guru cukup 
serius terutama membabitkan mereka yang bertugas di bandar besar dengan 
baru-baru ini di Ipoh, seorang guru wanita yang mengalami kemurungan 
ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebuah pasar raya.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik juga 
sebelum ini mendedahkan kekurangan guru di bandar besar adalah serius 
berikutan ramai yang memohon kembali bertugas di kampung masing-masing.
Sementara itu, kata Nor Zuraida, guru muda juga 
sering tertekan kerana terpaksa berhadapan dengan kerenah pelajar, 
gangguan daripada ibu bapa pelajar serta mengalami masalah peribadi 
termasuk perkahwinan jarak jauh.
DR. AHMAD ROSTAM MD. ZIN 
 | 
  
Selain itu, beliau memberitahu, sebahagian 
pesakitnya dalam kalangan guru kembali menghadapi stres ketika berusia 
55 tahun kerana tekanan di tempat kerja.
“Setiap orang mengalami stres yang berbeza cuma 
bagaimana cara kita mengawalnya, jika stres tidak dikawal kemurungan 
akan berlaku dan sekiranya dibiarkan pesakit akan berfikiran negatif dan
 akhirnya membuat keputusan mengikut perasaan.
“Berdasarkan pengalaman, belum ada pesakit yang 
sampai mengalami tahap gangguan mental. Setakat ini, rawatan stres lebih
 kepada kaunseling, kalau kemurungan baru makan ubat dan satu pertiga 
daripada pesakit bergantung pada ubat dalam tempoh enam hingga sembilan 
bulan manakala dua pertiga pula perlu makan ubat secara berterusan,” 
katanya.
Dalam pada itu, Exco MPA, Dr. Ahmad Rostam Md. Zin
 menjelaskan, beliau pernah merawat guru yang menghadapi masalah 
kemurungan dan antara faktor yang dapat membantu guru sembuh adalah 
sokongan daripada pihak pentadbiran sekolah.
“Jika kemurungan tidak dirawat, individu 
tersebut akan hilang kefungsian diri. Mereka perlukan sokongan, tanpa 
sokongan keadaan akan jadi lebih rumit,” katanya.


0 Comments