Terkini

6/Terkini/ticker-posts

Header Ads Widget

header ads

Uniform khusus untuk guru!


BERDEGAR-DEGAR suaranya hingga menggamit pengunjung untuk mendekati. Satu demi satu testimonial keajaiban ubatnya dipersembahkan kepada khalayak, RM dan ubat kurap berpindah tangan. Dalam keasyikan bercerita, si penjual ubat tidak tersedar lengan bajunya tersingsing hingga terserlah ‘peta-peta’ kurap di lengannya. Tersentak orang yang mengelilinginya, lantas spontan tersembur ayat sinis, jual ubat kurap tapi kurap penuh!

Ada lagi orang nak percaya kepada penjual ubat itu? Analogi itu boleh juga dinisbahkan kepada guru. Insan mulia itu secara asasnya mengajar anak muridnya agar sentiasa ceria, jangan berduka lara, jangan mudah murung tapi hakikatnya sama ada disedari atau tidak, kebanyakan mereka memiliki kesemua sikap negatif itu!

Pasti ramai menegaskan bahawa kes kemurungan, duka lara dalam kalangan guru hanyalah kes terpencil. Jika terpencil adakah ia akan dibiarkan untuk mengecut sendiri, adakah tiada kemungkinan sesuatu yang terpencil itu boleh membesar? Contohnya sel-sel kanser, ia bermula daripada kapasiti kecil sebelum membesar dan merebak hingga menjarah keseluruhan sistem badan manusia.

Baru-baru ini bekas Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Prof. Dr. Nor Zuraida Zainal memaklumkan daripada hasil kajian lapan tahun lalu oleh sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia menemukan bahawa golongan guru paling ramai dikesan mengalami gejala stres berban­ding kerjaya lain di negara ini yang punca utamanya akibat beban kerja terlampau banyak.

Kajian itu mendapati kira-kira 71.1 peratus guru di Kuala Lumpur dan Sela­ngor me­ngalami stres dan satu pertiga daripadanya berhadapan masalah kemurungan.

Jom cuba kita bayangkan jika prosedur operasi standard (SOP) guru turut diamalkan oleh Kementerian Kesihatan. Guru kelas mendaftarkan pelajar pada awal tahun, masukkan data kedatangan setiap hari, fail pelajar juga perlu disediakan mengikut kokurikulum, kurikulum, disiplin, panitia, subjek dan peperiksaan.

Data dan statistik juga perlu dimuat naik ke dalam talian, pada masa sama ketinggian dan berat badan murid juga perlu diisi dan dimasukkan ke dalam fail spesifik, jika ada pertandingan di luar atau rombongan, guru juga perlu menjadi seperti pemandu grab untuk menghantar dan mengambil pelajar; tidak terkecuali terpaksa menghantar pelajar sakit ke klinik berhampiran.

Malah ada juga guru terpaksa buat kerja lebih masa untuk ‘menjaga’ pelajar terutama sebelah petang apabila ibu bapa atau penjaga lambat datang menjemput, seolah-olah guru itu tiada keluarga dan life untuk disantuni di rumah. Perlu diingatkan, guru juga perlu bersedia menerima kedatangan pada bila-bila masa pegawai atasan untuk memeriksa kekemasan fail, data dan statistik serta laporan demi laporan yang perlu disediakan.

Sekarang kita terjemahkan tugasan doktor ke dalam ‘uniform’ guru. Di hospital jururawat tidak mencukupi, maka doktor perlu mengambil alih tugas mereka. Apabila pesakit sampai, doktor kena layan mereka di kaunter pendaftaran, selepas itu masukkan data pesakit ke dalam fail mengikut jenis penyakit.

Apabila doktor bersedia untuk merawat pesakit, mereka terpaksa keluar bilik untuk melayan kerenah pegawai atasan yang datang untuk memeriksa kekemasan fail pendaftaran tadi. Bila selesai, sambung semula urusan merawat pesakit namun selang beberapa minit kemudian telefon berdering-dering di kaunter depan, doktor itu juga yang terpaksa menjawabnya.

Rupa-rupanya ada kemalangan maut di lebuh raya dan terdapat pekerja pembinaan rebah kerana serangan jantung, doktor yang sama perlu bergegas-gegas keluar memandu ambulans untuk mengambil pesakit-pesakit yang malang itu.

Pihak berwajib perlu melakukan sesuatu yang konkrit bagi mengatasi bebanan tugas melampau, utamakan tugas hakiki guru untuk mencurahkan ilmu bagi mening­katkan prestasi pelajar, bukan disibukkan dengan tugas perkeranian lain. Jangan pula dibuat undang-undang mewajibkan semua guru memakai uniform khusus untuk menjaga hati duka lara mereka. Lain yang dihajati lain pula yang dapat!

Post a Comment

0 Comments