Terkini

6/Terkini/ticker-posts

Header Ads Widget

header ads

NUTP gesa guru di sekolah dilengkapi PPE

 


PETALING JAYA:
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta guru yang perlu mengendalikan pengajaran secara bersemuka di sekolah diberikan peralatan perlindungan diri (PPE).

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan menggesa Kementerian Pendidikan mengkaji semula aspek keselamatan bagi guru yang perlu mengendalikan sesi pembelajaran fizikal bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Vokasional Malaysia.

Respons NUTP itu menyusul laporan 11 guru di Terengganu disahkan positif Covid-19 yang didakwa diarahkan menghadiri satu kursus secara bersemuka berkaitan pembelajaran di rumah.

Kecewa dengan apa yang berlaku, Tan berkata, pejabat pendidikan daerah Kuala Terengganu terlalu bersemangat dalam mengarahkan guru menghadiri kursus secara fizikal sehingga mengakibatkan penularan Covid-19 dalam kalangan mereka.

Beliau turut mempersoalkan sama ada pejabat daerah sedar keadaan Covid-19 ketika itu dan jika SOP dipatuhi semasa kursus dijalankan.

“NUTP mendesak Kementerian Pendidikan menyiapkan PPE untuk guru di seluruh negara agar keselamatan dan kesihatan mereka lebih terjamin,” katanya dalam kenyataan.

Tan meminta jadual seragam dikeluarkan untuk semua sekolah kerana ada guru yang terpaksa mengajar dari 7.30 pagi hingga 4.30 petang.

“Waktu rasmi untuk sesi pembelajaran adalah dari 7.30 pagi hingga 2.30 petang, sedangkan 2.30 hingga 4.30 petang untuk kelas tambahan, yang berada di luar waktu rasmi.”

Katanya, guru dan pelajar perlu diberi ruang serta masa untuk melakukan aktiviti rekreasi sendiri kerana menghabiskan terlalu banyak masa dalam pembelajaran hanya akan menjejaskan motivasi mereka.

Sumber FMT

Post a Comment

0 Comments