PUTRAJAYA: Program transisi akan dilaksanakan tahun ini untuk melihat kesediaan murid dan mempersiapkan mereka melangkah ke tahap seterusnya, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Habibah Abdul Rahim.
Beliau berkata, program itu dirangka memandangkan murid tidak dapat menjalani pembelajaran yang sepatutnya di sekolah tahun lalu ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Katanya, pelaksanaan program itu melibatkan semua murid di sekolah rendah dan menengah selama 43 hari dan dibuat mengikut kaedah yang difikirkan bersesuaian oleh guru terlibat.
“Kalau kita lihat pada tahun lepas, berapa hari saja mereka berada di
sekolah, jadi tentunya kementerian bimbang mungkin terdapat perbezaan
dari segi komunikasi dan bagaimana pembelajaran itu berlaku di rumah,
termasuk mengambil kira perbezaan dari segi akses kepada pembelajaran,
maka kita cadangkan program transisi ini.
“Jika terdapat jurang pembelajaran pada murid prasekolah dan tahun
ini mereka naik ke Tahun Satu, jadi bagaimana kita nak mempersiapkan
mereka dari segi kesediaan sebelum mengikuti pembelajaran di Tahun
Satu,” katanya pada sidang media dalam talian berhubung pengoperasian
sekolah 2021.
Mengenai pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), Habibah berkata, tahun ini ia akan dipantau dengan lebih terperinci berbanding tahun lalu bagi membantu guru dan pihak sekolah memperbaiki kaedah yang digunakan dari semasa ke semasa.
“Jika dulu kita cuma melihat berapa guru yang melakukan PdPR dan berapa murid terlibat, tetapi sekarang kita nak lihat mata pelajaran apa, di tahun apa atau peringkat mana dan jika guru melakukan PdPR dalam talian berapa lama dan berapa peratus murid yang hadir pada sesi itu.”
Dalam pada itu, Habibah berkata, hari pertama persekolahan pada Rabu lepas mencatatkan kehadiran menggalakkan 95% membabitkan calon yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020.
Katanya, peratusan itu lebih tinggi berbanding pembukaan semula sekolah pada Julai 2020 dalam tempoh PKP pemulihan, iaitu kira-kira 91 hingga 92%.
Mengenai siaran TV pendidikan, Habibah berkata, buat masa ini TV Pendidikan melibatkan saluran Okey TV, Astro dan NTV7 bersiaran selama sembilan jam sehari dari Isnin hingga Jumaat.
“Kita juga sedang merancang dengan pihak lain untuk menambah lagi
waktu siaran TV Pendidikan ini kerana ia adalah satu pendekatan yang
dapat sampai kepada murid kerana lebih 90% isi rumah di Malaysia
mempunyai televisyen, maka capaian pastinya lebih meluas.”
Sumber : FMT
0 Comments