Terkini

6/Terkini/ticker-posts

Header Ads Widget

header ads

Jakim, KPM perlu duduk semeja bincang silibus pendidikan, kata PIBGN

 


PETALING JAYA:
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disaran duduk semeja dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membincangkan silibus pendidikan di sekolah yang dikatakan terlalu memberi tumpuan kepada agama Islam.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Mohamad Ali Hasan berkata, kebimbangan bahawa tumpuan keterlaluan terhadap Islam menyebabkan pelajar Melayu terpinggir daripada pendidikan yang diperlukan untuk berjaya dalam hidup seperti dizahirkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, tidak sewajarnya ditolak bulat-bulat.

Beliau berkata, ini kerana Mahathir, yang pernah dua kali menjadi perdana menteri, terlibat secara langsung dan mempunyai pengalaman luas dalam membangunkan taraf kehidupan orang Melayu dan negara.

“Jangan bantah terus pandangan Mahathir, beliau orang berpengalaman luas dan sudah melihat dunia bagaimana hendak membangunkan negara sebaik-baiknya.

Mohamad Ali Hasan.

“Saya berpandangan KPM bersama-sama Jakim harus meneliti dan memperhalusi visi dan hasrat Mahathir itu kerana niatnya baik.

“Kita semestinya mahu rakyat mendapat pendidikan yang menyeluruh dan holistik,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Mahathir dalam wawancara eksklusif bersama FMT berkata, tumpuan pendidikan di sekolah ketika ini tidak diberikan kepada sains dan teknologi, sebaliknya pengajaran agama dititikberatkan secara keterlaluan “seolah-olah setiap murid akan menjadi ulama”.

Tambah beliau, bidang seperti pendidikan sastera am (liberal arts) yang secara tradisi cukup popular dalam kalangan pelajar Melayu juga tidak menepati keperluan majikan pada masa ini atau masa hadapan.

Ali Hasan berkata, perlu diakui bahawa pendidikan duniawi dan akhirat perlu diseimbangkan memandangkan pelajar ketika ini perlu menghadapi dunia yang luas dan global, selaras dengan Revolusi Industri 4.0, selain juga keperluan semasa dalam dunia pekerjaan.

“Pendidikan yang baik bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri, tetapi turut dinikmati warga Malaysia dan juga warga global.

“Jadi, tidak salah saya kira, jika kita bermuhasabah diri, mungkin ada benarnya apa yang dikatakan Mahathir itu. Kita perlu terima teguran beliau secara terbuka,” kata Ali Hasan.

KPM, dalam panduan pelaksanaan jadual waktu pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan cadangan peruntukan PdPR dan tutorial mengikut subjek, menetapkan tempoh masa 240 minit seminggu bagi subjek Pendidikan Islam untuk pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Tiga, sama seperti peruntukan masa untuk subjek Bahasa Melayu.

Manakala, tempoh masa yang diperuntukkan untuk subjek Bahasa Inggeris adalah 210 minit seminggu, Matematik (210 minit), Sains (210 minit), Sejarah (120 minit), Geografi (90 minit).

Bagi pelajar Tingkatan Empat dan Lima pula, masa yang diperuntukkan untuk subjek Pendidikan Islam adalah 180 minit seminggu, lebih rendah daripada mata pelajaran lain seperti Bahasa Melayu (240 minit), Bahasa Inggeris (210 minit), Matematik (210 minit), Sains (210 minit), dan Sejarah (120 minit).

Sumber : FMT

Post a Comment

0 Comments