Terkini

6/Terkini/ticker-posts

Header Ads Widget

header ads

4 Planet Sekali Lagi Dalam Jajaran Dirakam

PUTRAJAYA: Setelah muncul awal April lepas, empat planet sekali lagi berada dalam jajaran himpunan sebaris atau dikenali sebagai konjungsi di ruang langit Malaysia subuh semalam.

Malah menurut Agensi Angkasa Malaysia (Mysa), imej Zuhal, Marikh, Zuhrah dan Musytari itu berjaya dicerap Observatori Negara Langkawi di Kedah dan dirakamkan pada pukul 6.11 pagi.

“Konjungsi merupakan fenomena nyata yang disebabkan oleh perspektif pemerhati dari bumi iaitu objek cakerawala dilihat seumpama fizikalnya berdekatan jika dilihat dengan mata kasar. Bagaimanapun, sebenarnya kedudukan objek berkenaan adalah terletak berjauhan dari satu sama lain di angkasa,” jelas Mysa menerusi hantaran dalam laman sosial rasminya hari ini.

Sebelum ini pada 6 April lalu, penggemar sains falak tempatan teruja apabila berpeluang menyaksikan sendiri himpunan empat planet tersebut secara serentak selepas waktu subuh. Fenomena alamiah nadir itu didedahkan oleh pakar astronomi terkenal tanah air yang juga pengasas laman sesawang sains angkasa Falak Online, Shahrin Ahmad melalui akaun sosialnya.

Beliau yang merupakan Ahli Jawatankuasa Falak Negeri Selangor menambah, pada masa tersebut, lokasi bintang Alnitak, Alnilam dan Mintaka hampir sahaja menunjuk ke arah bulan. Akhir bulan lalu, rakyat Malaysia dapat menyaksikan fenomena lintasan tiga planet serentak yang melibatkan Zuhrah, Marikh dan Zuhal tidak jauh dari bulan selama dua hari berturut-turut.

Dalam pada itu, Shahrin menerusi hantaran terbaharu turut mengesahkan bahawa himpunan empat planet tersebut sebenarnya sudah pun dapat dilihat di Malaysia pagi Jumaat lepas. Malah berdasarkan komen beberapa warganet tempatan, ada sesetengah lokasi yang telah berjaya menyaksikan fenomena konjungsi planet berkenaan sehari sebelum itu lagi.

UtusanOnline

Post a Comment

0 Comments