Terkini

6/Terkini/ticker-posts

Header Ads Widget

header ads

Inisiatif guru tingkat mutu pendidikan



Inisiatif berterusan guru dalam meningkatkan pengajaran dan pembelajaran rata-rata menerima pengiktirafan dan ucapan terima kasih pelajar lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari guru.

Ia dibuktikan melalui penerimaan positif murid dan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Empat dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Empat, di sini terhadap transformasi pendidikan kerana ia berjaya menggalakkan sekolah melakukan anjakan dari segala segi termasuk teknik penyampaian pendidikan kepada pelajar.

Tingkat kualiti pembelajaran

Ketua Pelajar, SMK Jalan Empat, Hifdzi Zaim Zamri, 17, berkata inisiatif yang dilakukan sekolahnya dilihat berhasil meningkatkan kualiti sesi pengajaran dan pembelajaran selaras dengan taraf sekolah berkenaan yang dinobatkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada 2011.

“Antara program yang dilaksanakan termasuk Program Ibnu Sina iaitu yang membabitkan penyertaan aktif pelajar dalam sesi pengajaran,” katanya.

Beliau berkata menerusi program itu, guru akan memilih pelajar yang mampu membimbing rakan lain bagi mengantikan guru yang tidak dapat hadir ke kelas kerana sesuatu urusan.

“Sehari sebelum diberi tugas itu, guru terbabit akan melatih dan menerangkan kepada pelajar yang terpilih mengenai subjek dan topik yang perlu diajarkan bagi memudahkan pelajar berkenaan menerangkan kepada pelajar lain di dalam kelas keesokan harinya,” katanya.

Pelajar, Atiah Nadhirah Azlan, 17, berkata selain Program Ibnu Sina, Program i-THINK yang dilaksanakan sekolah terbabit berhasil menggerakkan usaha meningkatkan kualiti pemikiran pelajar secara lebih agresif.

“Pelajar akan diajar membuat dan membina sendiri peta pemikiran (peta minda) mengikut segmen tertentu berdasarkan kreativiti sendiri yang mampu mengembangkan idea secara menyeluruh.

Uji kreativiti pelajar

“Antara segmen yang diperkenalkan termasuk peta pemikiran berbentuk pokok, buih, titi, buih berganda dan bulatan. Setiap segmen akan menguji kreativiti dan kehebatan daya fikir pelajar untuk memasukkan isi penting dalam setiap segmen.

Muhammad Syafiudin Mohd Rohani, 17, pula berkata program Kecemerlangan Akademik Puncak Jaya yang dilaksanakan sekolah berkenaan untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan besar seperti Penilaian Menegah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sangat bermanfaat.

“Ia adalah program kelas tambahan berterusan yang membabitkan pelbagai aktiviti termasuk latih tubi terancang, bengkel mata pelajaran serta teknik menjawab soalan bagi mengukuhkan pengetahuan pelajar,” katanya.

“Terima kasih kepada guru kerana kelas tambahan itu percuma dan ia menuntut guru bekerja lebih masa. Guru tidak pernah jemu mendidik kami sekali gus membuktikan mereka tidak pernah berkira serta rela berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi pelajarnya,” katanya.

Pelajar SK Jalan Empat, P Keerthana, 12, berkata teknik pembelajaran secara santai yang diterapkan di sekolah itu berjaya menarik perhatian murid untuk belajar.

Pembelajaran santai

“Kebanyakan mural atau lukisan yang menghiasi dinding bangunan sekolah ini berasaskan mata pelajaran termasuk Matematik, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Sains.

“Setiap kali naik tangga atau berjalan di kaki lima, kami akan dapat melihat mural berkenaan sekali gus menimbulkan suasana pembelajaran santai yang amat menyeronokkan,” katanya.

Rakannya, Nuqman Hakimi Mazhar, 12, berkata beliau amat menggemari teknik pembelajaran dwibahasa untuk mata pelajaran Sains dan Matematik.

“Ia memberikan saya lebih pengetahuan serta menambah ‘kamus perkataan’ dalam minda saya dengan mengetahui maksud sesuatu perkataan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sekali gus dalam setiap pembacaan.

Atheera Munira Norman, 12, berkata prasarana yang disediakan di sekolah berkenaan juga lengkap dan membantu dalam perkembangan pendidikan murid di sekolah berkenaan.

“Kami mempunyai kemudahan pendidikan yang sangat sempurna sekali gus menyumbangkan kepada kecemerlangan dalam pelajaran dan ucapan terima kasih kepada guru.

Post a Comment

0 Comments