Terkini

6/Terkini/ticker-posts

Header Ads Widget

header ads

PdPR: Pelajar terpaksa ikuti kelas di bangsal usang kawasan ladang

 


SETIU:
Capaian internet yang lemah terus menjadi isu utama kepada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang sedang dilaksanakan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Bagi lebih 100 pelajar dari Kampung Payong, Setiu, bangsal usang serta pondok di kawasan ladang menjadi lokasi bagi meneruskan pelajaran.

Menurut pelajar, mereka juga merasa tertekan ketika mengikuti PdPR apabila capaian internet sering terputus dan sukar disambung semula.

“Kami pelajar di kampung ini terpaksa duduk di tempat berkelah ini dan juga bangsal buruk yang terdapat di kawasan ladang sawit.

“Jadi perkara ini menyebabkan kami berasa tidak selesa untuk mengikuti kelas. Keadaan di sini agak kurang kondusif jadi kami terpaksa mencari inisiatif lain dan keluar dari rumah untuk mengikuti kelas,” jelas pelajar sekolah, Fakrul Fattah Abdul Gani.

Penuntut IPTA, Nurul Aliana Mat Arif pula memaklumkan, oleh kerana capaian internet di kawasan tersebut sangat lemah, dia sering terkeluar daripada sesi kelas yang diadakan pensyarah.

“Susah untuk kami mengikuti kelas secara dalam talian. Sering kali selepas berjaya memasuki kelas tersebut, kami akan terkeluar dengan sendiri kerana capaian internet di sini terputus-putus,” katanya.
Manakala Rosliza Salleh, 43, berkata, dia terpaksa menemani dua anaknya yang berusia 12 dan 13 tahun ke kawasan itu bagi menyelesaikan kerja sekolah mereka.

“Biasanya kami akan ke sini pada waktu malam. Sangat susah keadaan begini walaupun ketika ini sudah zaman moden, namun di Kapung Payong ini, masalah seperti ini masih wujud,” jelasnya lagi.
Sementara itu Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Payong, Mohd Abdul Jalal Ibrahim berkata, langkah segera perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah itu.

“Saya harap pihak yang berkenaan dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin kerana ini menyebabkan pelajar di sini sukar untuk mengikuti kelas. Perkara ini juga telah berlarutan bertahun-tahun lamanya,” katanya.

Menurutnya, pihak terbabit perlu memandang serius isu berkenaan dengan tampil mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang membelenggu masyarakat di kawasan itu. - Astro

Post a Comment

0 Comments